Wednesday 27 March 2013

Transportation/Pengangkutan

Pengangkutan merupakan antara komponen terpenting dalam industri pelancongan. Mengapakah saya berani menyatakan sedemikian?

Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, aktiviti pelancongan itu sendiri melibatkan pergerakan seseorang individu samada sendirian ataupun bersama rakan dan keluarga keluar dari kawasan kediaman mereka menuju ke suatu destinasi pilihan.

Mobiliti iaitu pergerakan ini memerlukan medium pengangkutan untuk membawa mereka ke destinasi pilihan yang dituju. Secara umumnya, jenis-jenis pengangkutan ini terbahagi kepada EMPAT (4) bahagian utama iaitu:

1.  Air/Udara
2. Rivers/Sungai
3.  Highway/Darat
4.  Rail/Landasan


     
Hyppo River Cruise Singapura
  
Penggunaan tram memudahkan pergerakan di Jurong Bird Park

Kereta sebagai medium pengangkutan darat utama


Pengangkutan Udara

1.  Air/Udara

Jenis pengangkutan ini melibatkan kenderaan pengangkutan seperti helikopter, belon panas, kapal  terbang komersial, kapal terbang kecil. 


Medium Pengangkutan Utama

Penduduk dunia masa ini sangat bertuah kerana terdapat pelbagai pilihan untuk terbang di dalam  atau luar negara.  Masing-masing bebas untuk memilih jenis penerbangan mengikut citarasa masing-masing. Tawaran Low Cost Carrier/syarikat penerbangan tambang murah dengan harga menarik dan murah, membuka peluang kepada orang ramai untuk melancong ke luar negara. Hal ini disokong lagi dengan kempen-kempen pelancongan dalam dan luar negara seperti MATTA FAIR yang diadakan saban tahun.


 
Low Cost Carrier Terminal di Sepang

 Apabila kita berbincang mengenai pengangkutan khususnya pengangkutan udara, salah satu perkara yang perlu diketahui oleh para pembaca sekalian ialah airline alliance. Penulis memperolehi sedikit ilmu berkaitan dunia penerbangan ini semasa menyertai kursus Tempahan dan Tiketan iaitu ABACUS ASSET di Politeknik Muadzam baru-baru ini.

Suka saya sertakan di sini apa itu airline alliance yang saya petik daripada wikipedia, sekadar perkongsian untuk memudahkan pemahaman anda berkaitan istilah ini.
Penulis di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura


Airline Alliance

Berdasarkan wikipedia (http://en.wikipedia.org/wiki/Airline_alliance), An airline alliance is an agreement between two or more airlines to cooperate on a substantial level. The three largest passenger airline alliances are Star Alliance, SkyTeam, and Oneworld. Alliances also form between cargo airlines, such as that of WOW Alliance, SkyTeam Cargo, and ANA/UPS Alliance. Alliances provide a network of connectivity and convenience for international passengers and international packages. Alliances also provide convenient marketing branding to facilitate travelers making inter-airline codeshare connections within countries. This branding goes as far as to even include unified aircraft liveries among member airlines.

Malaysia Airlines System (MAS) sendiri baru sahaja menjadi ahli alliance iaitu Oneworld, salah satu alliance penerbangan terbesar di dunia. Apa rasionalnya menjadi ahli alliance penerbangan ini? Sudah tentunya untuk menyelaraskan fare price iaitu harga tiket penerbangan di kalangan ahli dan juga menyelaraskan jadual dan laluan penerbangan.

Mengikut perspektif penerbangan, dunia ini terbahagi kepada TIGA(3) bahagian utama iaitu TC1, TC2 dan TC3. TC1 terdiri daripada negara-negara yang terdapat dalam Benua Amerika,TC2 pula terdiri daripada negara-negara yang terdapat dalam Benua Afrika dan TC3 sudah tentunya negara-negara yang terdapat dalam Benua Asia.

Untuk lebih spesifik lagi, negara-negara yang terdapat dalam zon penerbangan TC1 iaitu negara di Benua Amerika adalah Argentina, Colombia, Chile, Equador, Peru, Brazil, Uruguay, Paraguay, Venezuela dan Pirates of Carribean iaitu kepulauan Haiti, Honduras dan Panama.

Benua Afrika yang terletak di zon penerbangan TC2 pula terdiri daripada negara-negara Eropah, Timur Tengah, Afrika dan HANYA DUA negara di Rusia iaitu Moscow dan St. Petersbrough.

TC3 sudah semestinya terdiri daripada negara-negara selain dari yang telah dinyatakan dalam TC1 dan TC2 iaitu negara-negara yang terdapat dalam Benua Asia.

 

Pengangkutan udara sebagai sumber rekreasi

Selain daripada berfungsi sebagai sumber pengangkutan utama, medium pengangkutan juga berfungsi sebagai alat rekreasi. Para pelancong misalnya berpeluang menyertai aktiviti rekreasi dengan mendaftar di pusat-pusat latihan penerbangan. Para pelancong boleh merasai sendiri pengalaman mengendalikan pesawat-pesawat ringan dibawah kelolaan dan kendalian jurulatih bertauliah. 

Pengangkutan udara sebagai tarikan utama pelancongan


Bukan hanya bertindak sebagai elemen pengangkutan utama dan bagi tujuan rekreasi, komponen pengangkutan udara juga boleh dijadikan daya tarikan utama pelancong ke sesuatu destinasi pelancongan. 

Pada masa ini misalnya sedang berlangsung dua acara besar berkaitan pengangkutan udara di Malaysia iaitu Pesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya 2013 dan LIMA  2013.

LIMA merupakan singkatan nama daripada Langkawi International Maritime and Aerospace berlangsung dari 26-30 Mac 2013 di Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition, Pulau Langkawi.


Bumi Mahsuri dihujani dengan pelbagai acara pertunjukan akrobatik dan pameran pengangkutan udara dan laut sepanjang acara antarabangsa ini mengambil tempat. Kebetulan pula bersesuaian pula dengan cuti persekolahan di negara ini, acara tahunan ini sudah pasti menggamit kedatangan ramai pengunjung ke Pulau Lagenda.


Penulis difahamkan juga bahawa lanjutan dari acara antarabangsa tersebut pada tahun ini, Changlun dilaporkan berpotensi sebagai hab utara bagi industri pembuatan aeroangkasa negara. Kawasan sedia ada pada masa ini adalah di Sepang dan Subang, Selangor.Untuk lebih lanjut bolehlah layari di http://www.lima.com.my.

Pada 28-31 Mac 2013 pula, bakal berlangsung Pesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya ke 5 iaitu 5th Putrajaya International Hot Air Ballon. Pesta ini juga melibatkan aktiviti rekreasi, dan terdapat pelbagai aktiviti sampingan yang boleh disertai oleh para pengunjung termasuklah aktiviti lasak, aktiviti keluarga dan fokus kepada kanak-kanak.  Maklumat lanjut berhubung acara ini boleh dilayari di www.myballoonfiesta.com

Sebelum penulis terlupa, ada satu lagi yang perlu anda ketahui dalam industri penerbangan udara antarabangsa iaitu The International Air Transport Association (IATA).

Tuesday 26 March 2013

Sukarelawan Raptor Watch 2013


Pengalaman Sebagai Sukarelawan di Raptor Watch 2013, Tanjung Tuan


Mazura binti Stapah@Salleh
Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti,
Politeknik Merlimau, Melaka

Raptor dilihat terbang di Tanjung Tuan. Foto oleh: MNS
Tanjung Tuan sungguh istimewa, selain dikenali dengan rumah api tertua di Malaysia peninggalan penjajah portugis serta terdapat tapak kaki Hang Tuah, kawasan ini juga popular sebagai salah satu Important Birdest Area (I.B.A) di Malaysia.
 

Tidak disangka-sangka bersempena ulang tahun pertama penulis sebagai ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga dikenali sebagai Malaysian Nature Society (MNS), penulis berkesempatan turut serta sebagai salah seorang sukarelawan menjayakan acara pemerhatian burung di Tanjung Tuan.

Raptor Watch 2013 diadakan setiap tahun iaitu pada bulan Mac dan April di Hutan Simpan Tanjung Tuan, Port Dickson.  Pada tahun ini majlis sambutan dan pelancaran diadakan pada 9 dan 10hb Mac dengan kerjasama MNS serta  Kerajaan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Lokasi acara ini agak unik kerana ia melibatkan dua buah kerajaan negeri, PNB Ilham Resort yang bertindak sebagai lokasi perasmian terletak di dalam Negeri Sembilan, manakala Hutan Simpan Tanjung Tuan yang berada betul-betul bersebelahan dengan resort ini pula berada dalam Negeri Melaka.

Justeru, acara ini secara rasminya melibatkan usahasama kedua-dua kerajaan negeri dan hos utama acara adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa memperjuangkan dan melakukan aktiviti pemuliharaan alam semulajadi iaitu MNS.

White-bellied Sea Eagle. Foto oleh MNS

 

Apa itu Raptor Watch?


Raptor merujuk kepada istilah yang digunakan kepada burung pemangsa. Acara ini dinamakan sempena jenis burung migrasi yang singgah di Tanjung Tuan.



Burung yang berasal dari keturunan dinasours iaitu Velociraptors ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan keturunan asalnya iaitu mempunyai paruh yang besar, runcing dan tajam untuk mengoyakkan badan mangsanya. Burung ini juga mempunyai kaki yang kuat dan berkuku tajam untuk memegang mangsa yang terdiri daripada mamalia dan burung-burung kecil.



Kepak burung-burung pemangsa ini boleh mencecah sehingga 1 meter lebar ketika dikuak untuk terbang. Kepak ini membekalkan kekuatan tambahan bagi burung pemangsa untuk mengangkat mangsanya yang agak berat



Hutan Hujan Tropika yang terletak di pesisiran pantai ini, merupakan sebilangan kecil hutan pesisiran pantai yang masih wujud di Semenanjung Malaysia. Selain dari bertindak sebagai agen penampan dari ombak dan angin, hutan ini juga sangat istimewa kerana menjadi tempat persinggahan burung-burung pemangsa yang dipanggil Raptor yang singgah dalam perjalanan pulang ke negara asalnya di Siberia, Jepun, Korea dan Rusia yang mengalami musim sejuk pada bulan Oktober setiap tahun.
 
Cape Richardo Tanjung Tuan

Kepentingan Hutan Simpan Tanjung Tuan kepada spesies Raptor


Hutan Simpan Tanjung Tuan yang terletak di Port Dickson ini berada di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka. Hutan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah kategori Hutan Perlindungan dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Berdasarkan perundangan yang termaktub di bawah akta ini, tiada sebarang aktiviti penebangan hutan, pengambilan hasil-hasil hutan, pembakaran hutan, menangkap, mencederakan atau membawa keluar hidupan liar yang terdapat di sini.

Pembangunan di kawasan ini adalah pembangunan secara minima, bagi mengelakkan berlaku kerosakan kepada alam semulajadi yang terdapat di kawasan hutan ini.

Seperti kita sedia maklum, kawasan hutan ini menjadi kawasan persinggahan burung-burung pemangsa ini sebelum meneruskan perjalanan pulang ke negara masing-masing. Kebiasaannya, burung-burung ini boleh diperhatikan singgah di Hutan Simpan Tanjung Tuan pada setiap awal Mac sehingga bulan April.

Kawasan hutan yang merupakan kawasan daratan paling hampir dengan Pulau Rupat, Kepulauan Sumatera ini membekalkan thermal column  iaitu ruang-ruang panas kepada burung-burung ini,sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga oleh burung-burung untuk terbang. Burung-burung ini akan terbang dari satu ruang panas ke ruang panas yang lain.

Justeru, cuaca yang panas merupakan waktu yang sesuai bagi raptors ini untuk terbang. Kebiasaannya, burung-burung pemangsa ini boleh didapati terbang sekitar jam 11 pagi hingga jam 3 petang di kawasan sekitar Tanjung Tuan. Walaubagaimanapun, tidak kesemua burung ini berjaya terbang pulang ke negara asal mereka. Berdasarkan pemerhatian pihak MNS, terdapat juga burung pemangsa ini yang gagal terbang dan mati terjatuh ke dalam laut Selat Melaka sebelum sempat sampai ke Tanjung Tuan.

Dengan adanya thermal column yang dibekalkan oleh kawasan hutan simpan ini, burung-burung pemangsa ini hanya perlu menguak (glide) kepak masing-masing iaitu hanya meluncur terbang di awan sebelum sampai ke kawasan daratan. Sebaik sahaja tiba di hutan simpan pesisiran pantai ini, burung-burung ini boleh mencari mangsa yang terdiri daripada haiwan dan burung-burung kecil untuk dimakan, sebelum meneruskan semula perjalanan pulang.

Pada tahun lepas sahaja, MNS melaporkan lebih dari 40,000 raptors direkodkan terbang melintasi Hutan Simpan Tanjung Tuan, Port Dickson. Burung-burung yang biasa ditemui adalah dari jenis burung helang seperti Crested Honey Buzzard (Pernis ptilorhynchus) juga dikenali sebagai Helang Lebah, Chineese Goshawk (Accipiter soloensis) iaitu nama tempatannya Helang Sewah Cina, Black Baza (Aviceda leuphotes) iaitu Helang Baza, Japanese Sparrowhawk (Accipiter gularis) iaitu Helang Sewah Jepun dan Grey Faced Buzzard (Butastur indicus) iaitu Helang Kepala Kelabu.

Burung-burung pemangsa ini sangat penting menyumbang kepada keseimbangan ekosistem di sesuatu kawasan hutan, sesuai dengan kedudukannya antara yang paling tinggi dalam rantaian makanan.

Sukarelawan Raptor Watch 2013


Alhamdulillah, permohonan penulis untuk turut serta menjayakan Raptor Watch pada tahun ini mendapat maklumbalas yang menggembirakan daripada pihak MNS. Seminggu sebelum acara tahunan ini berlangsung, penulis dan rakan-rakan sukarelawan yang lain telah dipanggil untuk menjalani sesi latihan dan taklimat awal perlaksanaan nature walk di Hutan Simpan Tanjung Tuan, Port Dickson.

Sesi latihan pada hujung minggu itu mengambil masa kira-kira 5 jam, bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang. Taklimat awal diberikan oleh ketua jurulatih iaitu Puan Pasu daripada MNS dan dibantu oleh Encik Ilyas Sapian.

Taklimat awal dilakukan di menara pemerhati yang terdapat di PNB Ilham Resort, Port Dickson.  Selesai sesi perkenalan semua sukarelawan, kami diberi penerangan mengenai burung-burung Raptors yang biasa ditemui di Tanjung Tuan.

Sesi latihan kemudiannya diteruskan di mana para sukarelawan seramai kira-kira 23 orang dibahagikan kepada dua kumpulan masing-masing dibawah seliaan Puan Pasu dan Encik Ilyas. Sesi nature walk dimulai di permulaan stesen iaitu tidak jauh dari pintu masuk ke Hutan Simpan Tanjung Tuan.

Di stesen pertama ini, setiap sukarelawan perlu memperkenalkan diri masing-masing serta memastikan para peserta mengenakan pakaian yang bersesuaian bagi aktiviti jungle trekking. Kami juga perlu mengingatkan agar para peserta yang mempunyai tahap kesihatan yang baik serta tidak mengandung sahaja yang boleh meneruskan aktiviti ini. Para peserta juga digalakkan untuk  membawa sedikit makanan ringan berkhasiat dan air yang mencukupi.

Para peserta diberitahu mengenai kepentingan kawasan hutan ini sebagai salah satu Important Birdest Area (I.B.A) di Malaysia iaitu kawasan tumpuan persinggahan burung-burung. Trek laluan bagi sesi nature walk ini adalah kira-kira 2km dan memakan masa kira-kira 1 jam setengah perjalanan berjalan kaki.

Di antara ekosistem hutan yang terdapat di sepanjang laluan ini adalah spesies pokok hutan iaitu Meranti Seraya (Shorea curtisii), Penarahan Arang, Simpoh Jangkang (Dillenia reticulate), Pokok Ara (Ficus sp.), Tongkat Ali (Eurycoma longifolia), Terentang (Campnosperma auriculata), Kembang Semangkuk (Scarpium sp.), Keruing Belimbing (Dipterocarpus sp.) . Terdapat juga busut anai-anai, liana, pokok rotan, cendawan dan mengkuang gergasi di sepanjang laluan hutan ini.


Berdasarkan pandangan peribadi penulis, acara tahunan ini berjalan dengan lancar, meriah dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai pihak. Tahniah dan sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak berikut iaitu Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sendiri, Kerajaan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, PNB Ilham Resort kerana penajaan lokasi acara, Penaja-penaja utama IJM, Air France, HSBC, warga UTEM, agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Penggalak Pelancongan N.Sembilan, Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, delegasi-delegasi dari luar negara yang turut serta, Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, MINOX, NIKON dan banyak lagi pihak yang tidak mampu disebutkan satu persatu.

Kedatangan orang awam ke acara tahunan ini juga sesungguhnya amat bermakna sebagai tanda sokongan masyarakat khususnya orang awam terhadap kesedaran di kalangan mereka akan peri pentingnya memelihara alam semulajadi khusus bagi kepentingan sejagat.



Penulis juga berharap lebih ramai lagi di kalangan anda yang akan mendaftar menjadi sebahagian ahli keluarga Malaysia Nature Society (MNS), lebih ramai yang menyatakan sokongan padu mereka terhadap kepentingan pemuliharaan alam semulajadi, insyallah alam semulajadi akan lebih terpelihara.



Bagi penulis, tidak kira siapa pun yang bakal menguruskan kawasan hutan simpan ini pada masa hadapan, seharusnya pengurusan hutan secara berkekalan dipraktikkan.  Diantara yang perlu diberi perhatian adalah pembangunan minima di kawasan ini tanpa melakukan sebarang kerosakan kepada sumber alam semulajadi yang ada. Pandangan peribadi penulis, cukuplah sekadar kemudahan tandas yang sedia ada di pintu masuk ke kawasan hutan simpan ini dan beberapa wakaf yang sedia ada.



Selain dari itu, pihak berkaitan perlu menghadkan kemasukan pelawat pada sesuatu masa iaitu berdasarkan konsep daya tampung iaitu carrying capacity bagi kawasan ini bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sumber semulajadi yang ada.



Penulis juga sangat bersetuju bahawa kesemua pelawat perlu berjalan kaki di sepanjang laluan yang ada. Bagi tujuan keselamatan, tidak sesuai rasanya dibenarkan kenderaan bermotor mahupun basikal menggunakan laluan di dalam kawasan ini. Keadaan jalan yang curam, mendedahkan para pengunjung dengan risiko kemalangan.



Hutan Simpan Tanjung Tuan, merupakan sebilangan kecil hutan dara pesisiran pantai yang tinggal di negara kita. Justeru, diharapkan agar kesemua pihak khususnya pihak yang bertanggungjawab memainkan peranan dalam memastikan khazanah hutan yang sangat tidak ternilai ini terpelihara untuk dinikmati oleh generasi ke generasi akan datang.