Wednesday 13 November 2013

Tajuk-tajuk Kertas Kerja Sempena World Tourism Conference 2013

Para pembaca dikasihi sekalian, izinkan penulis untuk menyambung sembang santai kita berkaitan kertas-kertas kerja yang dibentangkan sempena World Tourism Conference 2013 baru-baru ini.


Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, kertas-kertas kerja sempena persidangan ini dibahagikan kepada EMPAT (4) bahagian utama iaitu Beyond Mass Tourism, Innovative Marketing, New Directions for Tourism Product Development dan Boon or Bane of the Tourism Sector.


Sesi pertama iaitu Beyond Mass Tourism iaitu dengan sebanyak TIGA (3) kertas kerja telah dibentangkan iaitu:
1.  Prospering with Higher Yield Markets oleh Mr Hermes Navarro del Valle, Advisor to Minister of 
    Tourism of Costa Rica.
2. Tourism Business Beyond Profits oleh Mr. Yoshiaki Hompo, Former Japan Tourism Agency
   Commissioner.
3. Targetting for Less to Get More oleh Mr Thuji Dorji Nadik, Acting Managing Director Tourism
   Council of Bhutan.


Sesi kedua pembentangan dengan tema Innovative Marketing diwakili oleh kertas-kertas kerja berikut iaitu:
1.  Korea, Surfing on the Hallyu Wave oleh Mr. Charm Lee, CEO, Korean Tourism Organization 
    (KTO).
2.  New Approaches in Technology oleh Mr. Rob Torres, Head of Travel, Google
3.  Tourism and Mega Events oleh Mr. Christopher Rodrigues, Chairman, Visit Britain.


Sesi ketiga pula adalah New Directions for Tourism Product Development dengan kertas-kertas kerja berikut iaitu:
1.  Scaling Up the Benefits of Homestay and Its Variants oleh Prof. Dr. Amran Hamzah, Universiti
     Teknologi Malaysia.
2.  Unlocking the Potential of Domestic Tourism-The Overlooked Sector oleh Mr. Chang Hongan,
     Deputy Director General of Marketing and International Cooperation Department of China
    National Tourism Administration.
3. Attracting Youths and Gen-Y Travellers oleh Mr. David Chapman, Director General, The World
    Youth Student and Educationa Travel Confederation.


Sesi terakhir iaitu sesi keempat, Boon or Bane of the Tourism Sector diwakili oleh kertas-kertas kerja berikut iaitu:
1.  Tourism and Mega Events oleh Dr. Shaun Vorster, Advisor to the Minister of Tourism of South
    Africa.
2.  Low Cost Carriers oleh Mr. Azran Osman Rani, CEO, Air Asia X.
3.  Cruise Tourism oleh Mr. Kevin Leong, General Manager Asia Cruise Association-Regional
     Perspective dan Mr. William Harber, Vice President of Market Development for Carnival Asia-
     Global Perspektive.

Izinkan penulis untuk membuat rumusan mengenai hala tuju industri pelancongan secara global pada post yang akan datang. In Sya ALLAH.....

World Tourism Conference 2013


Penulis dan rakan-rakan bersama Setiausaha United Nation World Tourism Organization

Bersempena Visit Malaysia Year 2014 yang akan berlangsung tidak lama lagi, penulis dan beberapa orang rakan telah dijemput oleh pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk bertugas sebagai salah seorang sukarelawan yang dikenali sebagai "Voluntourism".

Episod tugas kami bermula dengan mengikuti kursus "We are the Host" yang dianjurkan oleh pihak kementerian tersebut. Semasa dalam kursus ini kami diberi pendedahan dan input agar dapat mengaplikasikan perkhidmatan cemerlang kepada para delegasi terutamanya delegasi luar negara yang bakal berkunjung ke Malaysia sempena World Tourism Conference.

World Tourism Conference 2013 merupakan persidangan bagi tahun ketiga berturut-turut telah diadakan di Malaysia. Tahun pertama diadakan di Kuala Lumpur manakala tahun kedua Kota Kinabalu, Sabah telah terpilih sebagai venue pilihan.

Pada tahun ini, negeri Melaka Bandaraya Bersejarah bertuah sekali kerana terpilih sebagai penganjur bersama iaitu dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan United Nation World Tourism Organization iaitu badan terbesar dunia dalam industri pelancongan peringkat global.

Persidangan yang berlangsung dari 21 hingga 20 Oktober 2013 baru-baru ini dihadiri lebih dari 50 delegasi luar negara. "Global Tourism: Game Changers and Pace Setters", tema persidangan pada kali ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyddin Yassin.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa Malaysia mensasarkan sebanyak 28 juta pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia dengan pendapatan perbelanjaan yang dikutip daripada pelancong sebanyak US23.4 billion pada tahun 2014.  


Persidangan pada kali ini agak menarik kerana berjaya mengumpulkan panel-panel hebat dari dalam dan luar negara termasuklah dari Jepun, Korea, Bhutan, Costa Rica dan banyak lagi. Penulis juga rasa amat bertuah kerana dapat menyaksikan pembentangan dari CEO Air Asia X, Tuan Azran Osman Rani dan Mr Rob Torres, Head of Travel, Google. In Sya ALLAH, dalam post seterusnya penulis akan kongsi pula tajuk-tajuk kertas kerja yang dibentangkan.

Walaubagaimanapun, suka penulis berkongsi di sini bahawa dengan bertugas sebagai voluntourism sempena persidangan ini dapat juga penulis meluaskan networking dalam bidang pelancongan dan yang lebih penting lagi dapat menimba ilmu secara percuma. Lupa pula penulis ingin beritahu bahawa penulis dan rakan ditugaskan sebagai "Rapporteur" iaitu jurulapor bagi pembentangan kertas-kertas kerja. Alhamdulillah, rezeki dan peluang keemasan yang sangat berharga bagi diri penulis. (Nota: gambar di atas adalah ehsan Chef Ed@Saudara Zahir bin Zainol.)

Penerbitan Pelancongan Mesti Dimiliki

Penulis ingin berkongsi dua penerbitan yang berjaya penulis "pancing" semasa menjadi sukarelawan semasa World Tourism Conference 2013 baru-baru ini. Buku pertama adalah Malaysia Tourists Profile 2011 dan yang kedua adalah Malaysia Tourism Key Performance Indicators 2012. Setiap satu buku ini berharga RM50.

Banyak statistik-statistik berkaitan industri pelancongan negara dinyatakan dalam kedua-dua buku ini. Penerbitnya adalah Research Division, Tourism Malaysia.

Teori Bencana di Cameron Highlands


Kitaran Air
(diagram Kitaran Air dipetik dari http://ga.water.usgs.gov/edu/watercycle-kids-malay.html)

Bertemu lagi kita dalam post kedua juga berhubung dengan bencana banjir besar di tanah tinggi Cameron. Izinkan penulis merujuk kepada diagram di atas yang penulis petik dari sumber yang dinyatakan di atas.

Pasti para pembaca sekalian tertanya-tanya apa rasionalnya penulis memuat naik diagram "Kitaran Air" tersebut. Seperti yang kita sedia maklum, banjir besar yang berlaku di Cameron Highland baru-baru ini disebabkan oleh pelepasan air dari Empangan di Sg. Bertam.

Mengapa air dari empangan tersebut terpaksa dilepaskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB)? Dari mana datangnya air yang tiba-tiba memenuhi empangan tersebut sehingga mengakibatkan pihak pengurusan terpaksa mengambil langkah melepaskan air tersebut?

Berbekalkan sekelumit ilmu yang penulis ada, izinkan penulis untuk menceritakan perihal pergerakan air di bumi. Dari mana air tersebut datang dan kemanakah air itu pergi.

Matahari yang memancarkan cahaya dan membekalkan tenaga haba menyebabkan air yang berada di sungai-sungai, empangan, laut dan juga mana-mana sumber air menggalakkan berlakunya proses "pemeluwapan".

Dalam proses pemeluwapan, wap air di bawa naik ke atas iaitu atmosfera dan disimpan dalam bentuk awan. Bagi tumbuh-tumbuhan pula, kewujudan tenaga haba dari matahari menyebabkan air dalam tumbuh-tumbuhan dikeluarkan dan naik ke atmosfera melalui proses yang sama tetapi digelar proses "sejatan".

Ais dan salji yang terdapat di kawasan pergunungan pula turut mengalami keadaan yang sama tetapi proses tersebut dikenali sebagai "pemejalwapan". Sebahagian lagi ais di kawasan pergunungan tersebut mengalami cairan salji dan masuk ke sungai-sungai berdekatan seterusnya masuk ke laut.

Berbalik kita kepada air yang disimpan dalam awan. Awan yang telah dipenuhi air, akan menurunkan air tersebut ke dalam laut dan bumi dalam bentuk curahan yang dipanggil "hujan". Ada hujan yang mempunyai keamatan yang tinggi dan sederhana juga rendah, di sini para pembaca dikasihi sekalian akan bertemu dengan hujan yang sangat lebat, sederhana lebat dan gerimis.

Bagi kawasan tanah tinggi yang mempunyai bilangan pokok yang mencukupi, hujan yang berkeamatan tinggi atau dengan kata lain mengalami hujan yang lebat tidak begitu terjejas. Mengapa ya? Mari sama-sama lihat diagram "Kitaran Air" di atas.

Pokok-pokok yang terdapat di kawasan tanah-tanah tinggi ini mampu bertindak sebagai penyerap air dan penghadang angin kencang. Dalam hal ini, air hujan yang turun dengan lebat tidak akan terus terkena tanah di kawasan tersebut. Sebaliknya air hujan ini akan terkena terlebih dahulu pokok-pokok yang ada, dan sebaik air hujan tersebut mencecah ke tanah, nilai keamatannya telah menjadi rendah.

Proses seterusnya adalah, air yang telah mencecah ke tanah ini akan diserap pula oleh akar-akar pokok melalui proses yang dipanggil "serapan". Sebahagian air tersebut akan mengalir di bawah tanah dan menjadi "aliran air bawah tanah". Air ini juga akan masuk ke laut.

Sebahagian lagi air akan berjaya sampai ke bahagian bawah tanah dan menjadi "simpanan air bawah tanah". Air di bawah kategori ini boleh digunakan bagi sumber minuman, mengairkan kawasan tanaman dan sebagainya.

Hal sebaliknya berlaku apabila sesuatu kawasan tanah lapang dan lebih teruk lagi sekiranya kawasan lapang tanpa pokok tersebut adalah kawasan berkecerunan tinggi. Hujan lebat akan terus mencecah ke tanah. Air berkeamatan tinggi tersebut akan membawa bersama tanah-tanah yang ada dan masuk menuju ke longkang atau sungai berdekatan. Proses ini dinamakan "air larian permukaan".

Penulis yakin, para pembaca sekalian biasa mendengar kes-kes tanah runtuh, banjir lumpur dan yang terbaru adalah banjir besar di tanah tinggi Cameron pada hujung bulan Oktober 2013 baru-baru ini. Pendapat peribadi penulis sendiri sebenarnya, apa yang berlaku di tanah tinggi baru-baru ini wajar dijadikan pengajaran.

Teorinya sangat mudah sebenarnya. Penulis yakin ada di kalangan para pembaca yang dikasihi sekalian pernah berkunjung ke Cameron Highlands. Pasti semua sedar, status tanah tinggi ini sebagai salah satu pusat penanaman sayur negara. Jadi sudah pasti, pemandangan yang anda semua dapat saksikan di sana sudah pasti bumbung-bumbung plastik pelindung tanaman yang digelar "Sistem Pelindung Hujan (SPH)".

Hmm...ini bukan kes masuk bakul angkat sendiri. Jiwa penulis sebagai seorang yang cintakan alam sekitar, sakit rasa nyawa penulis melihat kehijauan di tanah tinggi ini telah bertukar menjadi pemandangan keputihan dan silau bak banyaknya SPH tersebut. Alangkah baiknya jika ada para jurutera sekalian khususnya yang menjurus kepada bidang pertanian mencipta alternatif baru yang mesra alam bagi menggantikan SPH ini.

Teringat penulis rancangan SOAL JAWAB di TV3 malam tadi. Rancangan yang dikendalikan oleh Cikpuan Norzie Pak Wan Chik ini memang kena pada masa dan tempatnya. Syabas penulis ucapkan kepada kedua-dua panel, terutamanya kepada Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga dikenali sebagai Malaysian Nature Society (MNS), Prof. Dr. Maketab Mohamed di atas keberanian beliau bersuara dan mengupas di sebalik kejadian banjir besar di Cameron Highland.

Penulis amat berharap agar pihak berwajib yang berkaitan akan menerima huluran tangan Badan Bukan Kerajaan (NGO's) ini untuk menyelesaikan kemelut Cameron Highland. Penulis tertarik dengan kenyataan beliau meminta pihak berkaitan meninggalkan sikap "denial" yang tidak akan membantu menyelesaikan kemelut tersebut.

Penulis juga tertarik dengan cadangan beliau agar pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk mewartakan kawasan tanah tinggi ini sebagai salah satu destinasi pelancongan. Penulis yakin, sekiranya pihak kerajaan menimbangkan langkah mewartakan Cameron Highlands sebagai salah satu destinasi pelancongan negara, kawasan tanah tinggi ini akan terpelihara.


Satu lagi aspek yang ditekankan beliau adalah di pihak pengurusan empangan sendiri iaitu pihak TNB sewajarnya mewujudkan beberapa Standard Operation Procedure (SOP) berkaitan pelepasan empangan.

47 hari lagi menjelang Visit Malaysia Year 2014, namun negara kita pada dasarnya telah kehilangan salah satu destinasi pelancongan utama negara. Teringat penulis, paling akhir penulis berkunjung ke Cameron Highlands adalah pada akhir tahun 2010. Memang penulis tidak terkejut, pekan Ringlet salah satu pekan kecil di bahagian bawah Cameron Highlands sering dilanda banjir kilat. Kebetulan pada masa tersebut, penulis menaiki bas dan penulis dapat saksikan sungai-sungai yang terletak bersebelahan jalan utama dipenuhi dengan guni-guni sisa bahan pertanian.

Betullah, manusia sendiri yang melakukan kerosakan di muka bumi ini. Kerosakan di muka bumi ini dapat dikurangkan sekiranya setiap pihak samada  pihak pelancong, penduduk setempat, majlis daerah, pengusaha pertanian, hotel dan penginapan bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memastikan sumber semulajadi negara terpelihara.

Penulis berharap tiada lagi kawasan lain pula dilanda bencana besar selepas ini. Semoga semua pihak membuka mata masing-masing, pandang-pandang dan perhatikan apa yang kurang dan perlu diperbaiki agar musibah yang sama tidak berulang. 

Bencana di tanah tinggi Cameron

KEADAAN kawasan sekitar tebing Sungai Bertam dekat Ringlet, Cameron Highlands selepas dilanda banjir. - Foto Ikhwan Munir

"Banjir di Cameron Highlands - 3 Maut, Seorang Hilang" , itu merupakan tajuk akhbar 23 Oktober 2013 yang penulis petik dari laman web http://www.bharian.com.my/articles/BanjirdiCameronHighlands-3maut_seoranghilang/Article/ .

Terlebih dahulu penulis ingin merakamkan jutaan takziah kepada mangsa yang terlibat dengan bencana besar di Cameron Highland baru-baru ini. Penulis sendiri berasa benar-benar kehilangan, kerana tanah tinggi ini ibarat rumah kedua bagi penulis. Mana tidaknya, sebelum ini saban tahun dua hingga tiga kali penulis akan bercuti bersama ahli keluarga di sini.

Begitu juga dengan rakyat negeri Kelantan. Saban tahun, bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, tanah tinggi Cameron akan dipenuhi dengan rakyat negeri Kelantan. Kewujudan jalan raya dari Lojing, Kelantan ke Cameron Highland memudahkan lagi mereka untuk datang bercuti menikmati udara segar di Cameron Highland.

Namun, walaupun penulis telah berhijrah ke Melaka Bandaraya Bersejarah, penulis pasti bahawa rakyat Kelantan juga mungkin menerima sedikit sebanyak tempias bencana yang melanda tanah tinggi ini. Penulis tidak pasti pula, lokasi percutian mereka pada tahun ini kerana Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Muhammad V disambut baru-baru ini pada 11 dan 12 November 2013 iaitu selepas berlakunya bencana di tanah tinggi ini.   

Baiklah, apa yang ingin penulis kongsikan di sini bukanlah mengenai aktiviti percutian rakyat Kelantan ke Cameron Highlands tetapi juga rasa sedih penulis kerana apa yang penulis khuatirkan selama ini akhirnya menjadi kenyataan.

Sebagai seorang yang telah mendapat pendidikan formal dalam bidang perhutanan, penulis sendiri berasa sedih dengan bencana yang melanda tanah tinggi ini. Kemusnahan yang berlaku di tanah tinggi ini merupakan kemusnahan agak besar yang memerlukan jangka masa agak panjang dan kos yang besar bagi proses pemulihan sumber alam semulajadi dan pembangunan semula penduduk yang tinggal di sana terutama sekali di sekitar Sungai Bertam.