|
Kitaran Air |
(diagram Kitaran Air dipetik dari
http://ga.water.usgs.gov/edu/watercycle-kids-malay.html)
Bertemu lagi kita dalam post kedua juga berhubung dengan bencana banjir besar di tanah tinggi Cameron. Izinkan penulis merujuk kepada diagram di atas yang penulis petik dari sumber yang dinyatakan di atas.
Pasti para pembaca sekalian tertanya-tanya apa rasionalnya penulis memuat naik diagram "Kitaran Air" tersebut. Seperti yang kita sedia maklum, banjir besar yang berlaku di Cameron Highland baru-baru ini disebabkan oleh pelepasan air dari Empangan di Sg. Bertam.
Mengapa air dari empangan tersebut terpaksa dilepaskan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB)? Dari mana datangnya air yang tiba-tiba memenuhi empangan tersebut sehingga mengakibatkan pihak pengurusan terpaksa mengambil langkah melepaskan air tersebut?
Berbekalkan sekelumit ilmu yang penulis ada, izinkan penulis untuk menceritakan perihal pergerakan air di bumi. Dari mana air tersebut datang dan kemanakah air itu pergi.
Matahari yang memancarkan cahaya dan membekalkan tenaga haba menyebabkan air yang berada di sungai-sungai, empangan, laut dan juga mana-mana sumber air menggalakkan berlakunya proses "pemeluwapan".
Dalam proses pemeluwapan, wap air di bawa naik ke atas iaitu atmosfera dan disimpan dalam bentuk awan. Bagi tumbuh-tumbuhan pula, kewujudan tenaga haba dari matahari menyebabkan air dalam tumbuh-tumbuhan dikeluarkan dan naik ke atmosfera melalui proses yang sama tetapi digelar proses "sejatan".
Ais dan salji yang terdapat di kawasan pergunungan pula turut mengalami keadaan yang sama tetapi proses tersebut dikenali sebagai "pemejalwapan". Sebahagian lagi ais di kawasan pergunungan tersebut mengalami cairan salji dan masuk ke sungai-sungai berdekatan seterusnya masuk ke laut.
Berbalik kita kepada air yang disimpan dalam awan. Awan yang telah dipenuhi air, akan menurunkan air tersebut ke dalam laut dan bumi dalam bentuk curahan yang dipanggil "hujan". Ada hujan yang mempunyai keamatan yang tinggi dan sederhana juga rendah, di sini para pembaca dikasihi sekalian akan bertemu dengan hujan yang sangat lebat, sederhana lebat dan gerimis.
Bagi kawasan tanah tinggi yang mempunyai bilangan pokok yang mencukupi, hujan yang berkeamatan tinggi atau dengan kata lain mengalami hujan yang lebat tidak begitu terjejas. Mengapa ya? Mari sama-sama lihat diagram "Kitaran Air" di atas.
Pokok-pokok yang terdapat di kawasan tanah-tanah tinggi ini mampu bertindak sebagai penyerap air dan penghadang angin kencang. Dalam hal ini, air hujan yang turun dengan lebat tidak akan terus terkena tanah di kawasan tersebut. Sebaliknya air hujan ini akan terkena terlebih dahulu pokok-pokok yang ada, dan sebaik air hujan tersebut mencecah ke tanah, nilai keamatannya telah menjadi rendah.
Proses seterusnya adalah, air yang telah mencecah ke tanah ini akan diserap pula oleh akar-akar pokok melalui proses yang dipanggil "serapan". Sebahagian air tersebut akan mengalir di bawah tanah dan menjadi "aliran air bawah tanah". Air ini juga akan masuk ke laut.
Sebahagian lagi air akan berjaya sampai ke bahagian bawah tanah dan menjadi "simpanan air bawah tanah". Air di bawah kategori ini boleh digunakan bagi sumber minuman, mengairkan kawasan tanaman dan sebagainya.
Hal sebaliknya berlaku apabila sesuatu kawasan tanah lapang dan lebih teruk lagi sekiranya kawasan lapang tanpa pokok tersebut adalah kawasan berkecerunan tinggi. Hujan lebat akan terus mencecah ke tanah. Air berkeamatan tinggi tersebut akan membawa bersama tanah-tanah yang ada dan masuk menuju ke longkang atau sungai berdekatan. Proses ini dinamakan "air larian permukaan".
Penulis yakin, para pembaca sekalian biasa mendengar kes-kes tanah runtuh, banjir lumpur dan yang terbaru adalah banjir besar di tanah tinggi Cameron pada hujung bulan Oktober 2013 baru-baru ini. Pendapat peribadi penulis sendiri sebenarnya, apa yang berlaku di tanah tinggi baru-baru ini wajar dijadikan pengajaran.
Teorinya sangat mudah sebenarnya. Penulis yakin ada di kalangan para pembaca yang dikasihi sekalian pernah berkunjung ke Cameron Highlands. Pasti semua sedar, status tanah tinggi ini sebagai salah satu pusat penanaman sayur negara. Jadi sudah pasti, pemandangan yang anda semua dapat saksikan di sana sudah pasti bumbung-bumbung plastik pelindung tanaman yang digelar "Sistem Pelindung Hujan (SPH)".
Hmm...ini bukan kes masuk bakul angkat sendiri. Jiwa penulis sebagai seorang yang cintakan alam sekitar, sakit rasa nyawa penulis melihat kehijauan di tanah tinggi ini telah bertukar menjadi pemandangan keputihan dan silau bak banyaknya SPH tersebut. Alangkah baiknya jika ada para jurutera sekalian khususnya yang menjurus kepada bidang pertanian mencipta alternatif baru yang mesra alam bagi menggantikan SPH ini.
Teringat penulis rancangan SOAL JAWAB di TV3 malam tadi. Rancangan yang dikendalikan oleh Cikpuan Norzie Pak Wan Chik ini memang kena pada masa dan tempatnya. Syabas penulis ucapkan kepada kedua-dua panel, terutamanya kepada Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga dikenali sebagai Malaysian Nature Society (MNS), Prof. Dr. Maketab Mohamed di atas keberanian beliau bersuara dan mengupas di sebalik kejadian banjir besar di Cameron Highland.
Penulis amat berharap agar pihak berwajib yang berkaitan akan menerima huluran tangan Badan Bukan Kerajaan (NGO's) ini untuk menyelesaikan kemelut Cameron Highland. Penulis tertarik dengan kenyataan beliau meminta pihak berkaitan meninggalkan sikap "denial" yang tidak akan membantu menyelesaikan kemelut tersebut.
Penulis juga tertarik dengan cadangan beliau agar pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk mewartakan kawasan tanah tinggi ini sebagai salah satu destinasi pelancongan. Penulis yakin, sekiranya pihak kerajaan menimbangkan langkah mewartakan Cameron Highlands sebagai salah satu destinasi pelancongan negara, kawasan tanah tinggi ini akan terpelihara.
Satu lagi aspek yang ditekankan beliau adalah di pihak pengurusan empangan sendiri iaitu pihak TNB sewajarnya mewujudkan beberapa Standard Operation Procedure (SOP) berkaitan pelepasan empangan.
47 hari lagi menjelang Visit Malaysia Year 2014, namun negara kita pada dasarnya telah kehilangan salah satu destinasi pelancongan utama negara. Teringat penulis, paling akhir penulis berkunjung ke Cameron Highlands adalah pada akhir tahun 2010. Memang penulis tidak terkejut, pekan Ringlet salah satu pekan kecil di bahagian bawah Cameron Highlands sering dilanda banjir kilat. Kebetulan pada masa tersebut, penulis menaiki bas dan penulis dapat saksikan sungai-sungai yang terletak bersebelahan jalan utama dipenuhi dengan guni-guni sisa bahan pertanian.
Betullah, manusia sendiri yang melakukan kerosakan di muka bumi ini. Kerosakan di muka bumi ini dapat dikurangkan sekiranya setiap pihak samada pihak pelancong, penduduk setempat, majlis daerah, pengusaha pertanian, hotel dan penginapan bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memastikan sumber semulajadi negara terpelihara.
Penulis berharap tiada lagi kawasan lain pula dilanda bencana besar selepas ini. Semoga semua pihak membuka mata masing-masing, pandang-pandang dan perhatikan apa yang kurang dan perlu diperbaiki agar musibah yang sama tidak berulang.