Saturday 8 June 2013

Panggilan Beijing


18 April 2013 merupakan detik manis dalam hidupku. Mengapa ya? Pagi Khamis tersebut agak istimewa berbanding pagi-pagi  Khamis yang lain.

Seperti biasa,  jam 8 pagi aku akan berada di dewan kuliah jabatan.  Kelas Excellent Hospitality and Customer  Service pada pagi tersebut merupakan persiapan terakhir sebelum para pelajar Semester  Satu, Diploma Pengurusan Acara, Politeknik Merlimau berjuang pula di medan peperiksaan.

Sudah menjadi kelaziman bagi diriku untuk memadamkan bunyi  telefon bimbit setiap kali memulakan kelas.  Tidak mahu tumpuan para pelajar terganggu.  Begitu juga yang perlu dilakukan oleh setiap pelajar, setiap kali masuk kelas dilarang sama sekali telefon bimbit mereka berbunyi.

Namun, pada hari tersebut tidak tahu macam mana boleh pula terlupa untuk hentikan nada dering telefon bimbit.  Lupa rutin yang sentiasa aku amalkan setiap kali masuk ke kelas.
Sedang aku asyik  berekspresi mengenai perkhidmatan pelanggan kepada para pelajar, tidak semena-mena lagu “Sahabat” dendangan Najwa Latif berkumandang di dalam dewan kuliah.  Anak-anak murid saling berpandangan antara satu sama lain.

Jarang dibuat oleh Puan Mazura Stapah menerima panggilan semasa kelas.  Aku hanya  tersenyum muka kemerahan tersimpul malu.  Segera mohon maaf kepada para pelajar  sambil memberi  isyarat bahawa aku terpaksa menerima panggilan tersebut, bimbang andai panggilan tersebut merupakan panggilan kecemasan dari seseorang.

Nombor  yang dipaparkan di skrin tidak pula dipaparkan nama pemanggilnya. Nombor talian tetap, 03 panggilan dari Kuala Lumpur.   Badan mula rasa berpeluh dingin, jantung mula berdegup dengan agak kencang.

Anak-anak murid pula tiba-tiba senyap, masing-masing menunjukkan reaksi sedang memasang telinga.  Alhamdulillah, gembira bukan kepalang rasa macam ingin melompat kegembiraan pun ada.
Detik bersejarah dalam hidup aku pada pagi itu, dengan disaksikan anak-anak murid tersayang.  Sambil mengukir senyuman yang hampir sampai ke cuping telinga, dan masih menggigil kerana terkejut dan gembira. 

“Anak-anak murid yang dikasihi sekalian. Nak tahu tak siapa yang telefon saya tadi?. Baru saja saya bercerita tentang membawa pelancong ke luar negara tadikan? Alhamdulillah, Cik Fiena daripada Poto Travel & Tours yang telefon dan menawarkan saya menjadi tour leader ke Beijing pada 24 Mei hingga 30 Mei ini. Membawa sekumpulan 23 orang pelancong dari Malaysia ke sana.”

Sekilas, jiwa melayang-layang.  Terasa seperti diri telah berada di Kota Basikal tersebut.  Anak-anak murid mula mengusik sambil bertepuk tangan mengucapkan tahniah.

Semuanya bermula dengan angan-angan untuk  memanjat  Tembok Besar China  sedikit masa dahulu.  Aku sungguh teruja menonton rancangan ‘Destinasi Cinta’ ASTRO bersama Yasmin Hani dan pasangannya.  Nampaknya angan-angan kini  hampir menjadi kenyataan.  Namun hati tetap berdebar, pasti banyak cabaran yang menanti.



No comments:

Post a Comment