Tuesday 16 July 2013

H7N9 Menggugat Kegembiraan


Aku tidak terus memberikan persetujuan semasa Cik Fiena telefon pada pagi tersebut.  Perkara pertama yang dilakukan sudah semestinya meminta keizinan ayahanda dan bonda tercinta.  Aku minta beberapa jam sebelum memberikan jawapan samada menerima ataupun menolak peluang keemasan tersebut.
Cik Fiena telefon kira-kira jam 9.30 pagi, aku menelefon beliau semula kira-kira jam 11 pagi. Rezeki jangan ditolak, orang kata. Alhamdulillah, tepat jam 11 pagi aku memberikan persetujuan menerima tawaran menjadi Tour Leader ke Beijing.

Setelah memberikan persetujuan kepada Cik Fiena, segera kuhantar  sistem pesanan ringkas kepada adik beradik yang lain pula. Berkongsi berita gembira bersama mereka.

Bang Teh, adik lelaki bongsuku membalas dengan pesanan ringkas bahawa aku boleh pergi namun kena beringat untuk tidak memegang sebarang binatang semasa di Beijing kelak.

“Kak Zura tak payah pergilah kak zura, bahaya tu”,  Izatul salah seorang rakan baik agak bimbang dan menasihatkan aku untuk tunggu dan lihat perkembangan wabak penyakit H7N9 yang sedang  melanda China.

Glup! Tersentap dan telan air liur aku dibuatnya. Hati mula tidak keruan. Peluang tidak semestinya datang berulang-kali.  Takkan nak telefon semula Cik Fiena dan tolak pula tawaran tersebut. Dalam hati, kupanjatkan doa semoga Allah permudahkan segala urusanku ke sana kelak.

Beberapa hari berikutnya, aku menunggu berita dan perkembangan terkini virus penyakit ini di media masa khususnya perkembangan di Shanghai dan Beijing. Berdasarkan pembacaan yang aku buat pada masa tersebut, H7N9 merupakan penyakit bawaan haiwan khususnya burung.  Walaubagaimanapun, belum ada kes pindahan iaitu jangkitan  virus ini dari binatang kepada manusia.

Media masa melaporkan bahawa satu kes yang berlaku di Beijing merupakan kes terpencil. Di Beijing, kanak-kanak yang  dijangkiti H7N9 mungkin kerana beliau bermain di kedai haiwan peliharaan milik bapanya.

Sebulan lagi masa untuk bertolak, lama lagi tu. Apa yang boleh kulakukan adalah setiap hari kupanjatkan doa agar berlaku keajaiban dan  mudah-mudahan wabak ini  boleh dikawal.  Setiap hari itu jugalah aku pantau perkembangan terkini di China melalui talian internet.

Teringat pula rakan lama yang juga mempunyai agensi pelancongan bersama isterinya. Ya, aku perlu menelefon Atie Said, isteri Mohamad Shukri. Lantas tangan ligat mendail nombor telefon Atie. Tergelak besar  Atie sebaik mendengar soalan cepu emas yang kulontarkan. Kebetulan Atie baru sahaja pulang dari taklimat di Kedutaan China berhubung virus H7N9 yang melanda negara tersebut.

“Jangan risau kak Zura, tak ada apa yang perlu dibimbangkan. Pihak kedutaan dah buat pengumuman keadaan di China terkawal, cuma  jangan lupa ambil suntikan influenza sebelum berangkat nanti. Murah, jika di klinik swasta bayaran yang dikenakan cuma RM70, dan berkesan untuk tempoh setahun. Topeng mulut pun jangan lupa kak”. Aku menarik nafas lega, mula tersenyum sendiri mendengar penjelasan panjang lebar daripada Atie itu.






No comments:

Post a Comment