Tuesday, 2 April 2013

Halal Medical Tourism

Halal Medical Tourism
Oleh:
Mazura binti Stapah@Salleh
Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti,
Politeknik Merlimau, Melaka

Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia, Salam Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau, Melaka 100 Tahun, Politeknik Merlimau 10 Tahun.

Syukur ke hadrat Allah s.w.t., peluang menjejakkan kaki ke negeri Pulau Mutiara baru-baru ini benar-benar telah mengetuk pintu hati dan sanubari penulis.  Jika sebelum ini, setiap kali terpandang perkataan ‘halal’, penulis akan mengaitkannya dengan makanan yang berasal dari sumber halal, diproses dengan sempurna lagi bersih serta selamat dimakan.

Para pembaca sekalian, halal itu luas sebenarnya. Jika Islam itu syumul iaitu lengkap dan meliputi segenap lapisan kehidupan manusia. Begitu juga halnya dengan halal. Halal juga meliputi keseluruhan hidupan seharian kita. Pendidikan, pemakanan, hiburan, ternakan, beriadah, melancong dan tidak terkecuali juga dalam rawatan penyembuhan sesuatu penyakit. Halal merupakan suatu amalan dalam memastikan segala tindak tanduk kita seharian selari dengan kehendak syariah, hukum ciptaan Allah s.w.t.

Apa kaitannya tajuk yang ingin diketengahkan oleh penulis dengan isu halal ini? Penulis sendiri, apabila mendengar perkataan “perubatan islam”, penulis akan terus terbayang pesakit sedang dirawat oleh pengamal perubatan yang digelar ustaz lengkap dengan pakaian berbaju melayu dan berkopiah.  Zikir dan alunan ayat-ayat suci Al-Quran pula sentiasa tidak lekang dari bibir pengamal perubatan ini.

Walaubagaimanapun, peluang menyertai Persidangan Antarabangsa Halal di Pulau Pinang ataupun dikenali dengan nama Penang International Halal Conference 2013 baru-baru ini benar-benar membuatkan penulis tersentak. Terlalu kerdil diri ini rasanya,betapa sempitnya fikiran penulis selama ini mengenai Halal Medical Tourism.

Rupa-rupanya, perubatan moden juga boleh diklasifikasikan sebagai ‘halal medical’ jika kena caranya. Syukur alhamdulillah, para pengamal perubatan moden telah mula mengamalkan kriteria-kriteria yang dikatakan  halal ini.

http://www.come2kelantan.my/place/pusat-perubatan-islam-an-nisa


Potensi Industri Perubatan Halal di Malaysia

Isu ‘halal medical’ di persidangan yang penulis sertai beberapa bulan lalu, telah dibentangkan oleh Pengerusi Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze, Pulau Pinang, Prof. Dato’ Dr. Zainuddin Wazir.
Pengerusi Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze, Pulau Pinang dalam sesi pembentangannya menekankan bahawa ‘halal medical tourism’ yang juga dikenali sebagai pelancongan perubatan halal ini mempunyai potensi yang besar untuk berkembang pada masa hadapan.

Menurut beliau lagi, pada tahun 2012 industri ini telah memperolehi sebanyak RM100 billion sekaligus menyumbang kepada pendapatan negara. Bagaimanakah hal ini boleh berlaku?

Peningkatan pendapatan negara ini adalah disebabkan tiga faktor utama iaitu kebolehmampuan, kepelbagaian pilihan dan keseronokan di kalangan pelanggan.  
Malaysia amat bertuah sekali kerana sebahagian besar daripada kos rawatan perubatan di Malaysia adalah agak rendah berbanding negara-negara lain. Mari kita lihat perbandingan kos rawatan ini salah satunya adalah heart bypass (CABG).  Kos bagi menjalani rawatan tersebut pada tahun 2010 di Amerika Syarikat adalah kira-kira USD113,000, USD10,000 di India, USD13,000 di negara jiran kita Thailand dan USD20,000 pula di Singapura.

Bagaimana pula kos menjalani rawatan tersebut di Malaysia?  Kos rawatan tersebut jauh lebih murah iaitu cuma kira-kira USD9,000.  Sungguh murah bukan?

Faktor kedua yang menjadi daya penarik rakyat di negara asing untuk datang mendapatkan rawatan di Malaysia adalah kerana kepelbagaian pilihan jenis rawatan.Jenis-jenis rawatan yang dimaksudkan adalah seperti Bariatric Surgery, rawatan mata, Orthopedis Surgery, Diagnostics, pemindahan organ, rawatan kesuburan, pergigian dan Cardiology/Cardiac.

Seperti yang telah kita bincangkan tadi, faktor ketiga yang menarik kedatangan rakyat asing datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan adalah faktor keseronokan.

Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “sambil menyelam minum air” iaitu pakej 2 dalam 1.  Pelancong perubatan ini melihat bahawa peluang menjalani rawatan di Malaysia juga merupakan peluang bagi beliau dan ahli keluarga menikmati percutian yang menyeronokkan.

Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah An-Naĥl:36 yang bermaksud, 
"Dan sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah Thaghut itu, maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).”

Faktor Penarik dan Penolak (Push and Pull Factor)

Menurut Prof. Dato’ Dr. Zainuddin Wazir lagi, perubahan positif dalam corak pelancongan perubatan ini turut dipengaruhi oleh faktor-faktor penarik dan penolak.  Faktor-faktor tersebut adalah seperti galakan dan usahasama antara agensi insurans dan agensi perubatan, pemberi perkhidmatan terutamanya pihak hospital, agensi-agensi pelancongan, penginapan dan concierge, media dan persidangan, produk-produk kewangan, promosi oleh laman web dan brokers.

Situasi menang-menang ini turut member kesan yang positif kepada pelancong.  Peluang-peluang menarik yang ditawarkan oleh kedua-dua agensi ini membuka peluang kepada para pelancong untuk mendapatkan rawatan di luar kawasan tempat tinggal seharian mereka.

Negara manakah yang menjadi destinasi pilihan bagi pelancongan perubatan? Pada masa ini destinasi pilihan adalah negara India, Thailand, Malaysia, Singapura, Filipina, Mexico, Costa Rica, Colombia dan Cuba.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh UNESCAP (2007), pelancong perubatan yang datang ke Malaysia adalah daripada Indonesia iaitu sebanyak 72 peratus. Angka kedua terbesar adalah daripada Singapura iaitu sebanyak 10 peratus, 5 peratus pula pelancong perubatan datang daripada negara Jepun dan 2 peratus pula daripada pelancong daripada negara Asia Barat.

Apakah peranan Pelancongan Perubatan terhadap kemajuan negara? Pelancongan Perubatan merupakan salah satu daripada 14 sektor yang digariskan dalam National Key Economic Areas (NKEA) iaitu sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan.


Di Malaysia, berlaku peningkatan dari segi kedatangan pelancongan asing yang mendapatkan rawatan di Malaysia.  Berlaku peningkatan sebanyak 47.2 peratus pada tahun 2011 iaitu pelancong dari negara luar yang mendapatkan rawatan di negara ini adalah sebanyak 578,403 orang.  Lebih daripada 600,000 orang telah datang mendapatkan rawatan pada tahun 2012.

Pendapatan daripada pelancongan perubatan pada tahun 2011 adalah agak besar iaitu sebanyak RM509.77 million dengan peningkatan sebanyak 34.5 peratus.

Inisiatif Kerajaan Menggalakkan Pelancongan Kesihatan

Kerajaan turut memainkan peranan penting terhadap peningkatan kedatangan pelancong perubatan daripada negara luar. Perkhidmatan penjagaan kesihatan di peringkat antarabangsa diperkemaskan dengan penubuhan Malaysia Healthcare Travel Council yang bertanggungjawab secara langsung mempromosikan pelancongan perubatan di Malaysia.

Inisiatif kedua kerajaan adalah dengan melanjutkan tempoh sah laku visa bagi para pelancong perubatan yang mendapatkan khidmat penjagaan  kesihatan di Malaysia.

Kerajaan turut menggalakkan penglibatan agensi pemberi perkhidmatan itu sendiri iaitu seratus peratus pengecualian cukai kepada hospital-hospital yang mengambil bahagian dalam pelancongan perubatan.Pengecualian cukai ini turut menggalakkan pembinaan hospital-hospital baru dan pemodenan hospital-hospital sedia ada di negara ini.

Kementerian Kesihatan pula turut mengambil peranan di dalam menyalurkan informasi berguna mengenai pakej-pakej penjagaan kesihatan khususnya pelancongan kesihatan yang terdapat di Malaysia.

Setelah panjang lebar penulis bercerita mengenai senario pelancongan kesihatan di Malaysia, mari sama-sama kita kaitkan signifikan pelancongan kesihatan dan Pelancongan Perubatan Halal yang juga dikenali sebagai Halal Medical Tourism pula.  Izinkan penulis untuk menggunakan istilah Halal Medical Tourism dalam penulisan ini.

Halal Medical Tourism

Halal Research Council (2011), melaporkan bahawa populasi masyarakat Islam dunia adalah sebanyak 2.1 billion orang daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia sebanyak 6.6 billion.  Manakala, pasaran produk halal secara global adalah sebanyak USD 3 trillion. Di Malaysia sendiri, jumlah keseluruhan permintaan bagi makanan halal adalah sebanyak RM6 billion.

Para pembaca yang dikasihi sekalian, Halal Medical Tourism secara umumnya terbahagi kepada tiga komponen utama. Komponen-komponen ini termasuklah pemberian perkhidmatan dari segi infrastruktur yang disediakan, rawatan dan sumber manusia.

Ciri-ciri  Hospital Islamik

Prof. Dato’ Dr. Zainuddin bin Wazir di dalam ucapannya menggariskan ciri-ciri infrastruktur di hospital yang menjurus kepada Halal Medical Tourism.  Menurut beliau lagi, mana-mana hospital yang ingin mendapatkan pensijilan halal sepatutnya mempunyai ciri-ciri berikut iaitu mempunyai bilik solat yang mencukupi.  Seperti juga hotel, pihak hospital perlu meletakkan tanda arah  kiblat bukan sahaja di bilik-bilik solat malahan juga di bilik-bilik pesakit di hospital.

Mencari arah kiblat (www.ustaznaim.blogpsot.com)


Islam sendiri memberi kelonggaran kepada umatnya di dalam beribadat. Islam itu agama yang memudahkan dan tidak memberatkan. Dalam ibadat solat misalnya, sekiranya seseorang muslim itu tidak mampu untuk solat dalam keadaan berdiri disebabkan keuzuran, beliau boleh mendirikan solat dalam keadaan duduk.  Sekiranya tidak mampu juga untuk solat duduk, beliau boleh mendirikan solat dalam keadaan berbaring.  Hatta, sekiranya juga tidak mampu untuk solat dalam posisi baring, boleh juga menggunakan isyarat mata, dan yang terakhir sekiranya tidak mampu untuk solat menggunakan isyarat mata, boleh menggunakan hati.

Selain daripada tanda arah kiblat, setiap bilik pesakit perlulah dibekalkan dengan sejadah dan naskah  Al-Quran mahupun tafsir Al-Quran.   Walaubagaimanapun, Pengurus Besar al-Jawhara Hotel, Dubai iaitu Saudara Hani Lashin memberikan pendapatnya bahawa Al-Quran merupakan kitab yang perlu dipelihara. 

Di dalam hal ini, pihak hospital perlu menyediakan beberapa naskah Al-Quran Walaubagaimanapun, ianya diberi kepada pesakit di atas permintaan. Apa yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan hospital adalah meletakkan brosur yang menyatakan bahawa naskah   Al-Quran boleh didapati di kaunter wad.

Selain daripada beberapa aspek di atas, aspek yang tidak kurang pentingnya adalah aspek pemakanan kepada para pesakit.  Menu yang disediakan kepada para pesakit sewajarnya daripada menu  yang halal. Menu halal di sini bukan hanya daripada bahan mentah, tetapi juga proses penyediaan, hidangan dan  juga dapur hospital itu sendiri.

Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah:168 yang bermaksud- 
Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Selain daripada itu, hospital-hospital yang ingin mendapat pengiktirafan halal seharusnya menyediakan kemudahan khas  bagi para muslimah  seperti bilik solat, ruang istirehat dan sebagainya.  Ini secara tidak langsung menjaga hak dan memelihara maruah para muslimah yang datang menziarahi mahupun menemankan pesakit.

Menurut Pengerusi Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze, Pulau Pinang ini lagi komponen  kedua yang juga merupakan komponen utama dan faktor utama penyebab kedatangan  pelancong perubatan ke hospital adalah bagi mendapatkan rawatan.

Di dalam hal ini, pihak hospital yang mendapatkan pensijilan halal seharusnya menyediakan bahan-bahan, peralatan  rawatan dan ubat-ubatan yang menepati kehendak syariah. Segala bahan-bahan ini mesti dipastikan bebas daripada punca tulang-temulang dan unsur -unsur haram  seperti mengandungi sel-sel babi.

Komponen terakhir yang merupakan tenaga utama penggerak Halal Medical Tourism  adalah sumber tenaga manusia itu sendiri.  Sumber manusia samada di peringkat pegawai perubatan, pembantu perubatan, bahagian pendaftaran dan juga pihak pengurusan seharusnya terdiri daripada tenaga kerja terlatih secara professional dalam bidang kerja masing-masing. 

Para tenaga kerja ini juga seharusnya peka dengan budaya para pesakit yang datang daripada pelbagai latar belakang dan budaya.  Ianya penting di dalam menjaga hati para pesakit dan ahli keluarga mereka.

Sangat indah juga sekiranya para tenaga kerja di hospital-hospital ini merupakan mereka yang benar-benar mentauhidkan Allah taala bagi yang beragama Islam, iaitu melakukan segala suruhanNya dan  meninggalkan laranganNya.

Allah s.w.t. telah berfirman dalam surah Fuşşilat:44  yang bermaksud,
Dan jikalau Kami jadikan Al Quran itu suatu bacaan dalam bahasa selain Arab, tentulah mereka mengatakan: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya?" Apakah (patut Al Quran) dalam bahasa asing sedang (rasul adalah orang) Arab? Katakanlah: "Al Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang mukmin. Dan orang-orang yang tidak beriman pada telinga mereka ada sumbatan, sedang Al Quran itu suatu kegelapan bagi mereka. Mereka itu adalah (seperti)
Yang dipanggil dari tempat yang jauh".

Dalam Surah Al-'Isrā':82, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, 

Dan Kami turunkan dari  Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan  Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.”


Alhamdulillah, penulis sendiri dikurniakan rezeki daripada Allah s.w.t. untuk melahirkan puteri-puteri tercinta di hospital yang mengamalkan konsep perubatan Islam.  Betul, ramai yang berkata bahawa sakit melahirkan anak sama sahaja di mana-mana hospital pun.   Walaubagaimanapun, pandangan peribadi penulis sendiri, penulis merasakan bahawa proses melahirkan anak merupakan salah satu episod terpenting dalam kehidupan anak yang dilahirkan dan pelaburan bagi melahirkan para putera puteri solehah.


Penulis sentiasa berdoa sejak dari awal dikhabarkan berita gembira bakal menimang cahaya mata, agar anak yang bakal dilahirkan kelak disambut dengan ayat-ayat Al-Quran dan disambut oleh pengamal perubatan yang sentiasa mentauhidkan Allah s.w.t. Alhamdulillah, indah sungguh saat melahirkan yang diiringi dengan azan, doa, zikrullah dan alunan  ayat-ayat suci Al-Quran.  Alhamdulillah, mudah-mudahan doa tersebut dimakbulkan, amin.

Berbalik kepada isu Halal Medical Tourism, Malaysia sangat bertuah kerana negara kita mempunyai nilai dan budaya Islam yang ketara sekaligus merupakan salah satu tarikan utama para pelancong Islam  khususnya daripada negara Timur Tengah. 

Pengerusi Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze ini juga menggariskan beberapa ciri yang perlu diberi perhatian bagi memastikan kelestarian Halal Medical Tourism di negara ini.  Elemen-elemen yang perlu diberi perhatian adalah penambahbaikan program-program informasi dan pemasaran, koordinasi dengan infrastruktur pelancongan seperti ketibaan, pengangkutan dan  penginapan.

Adalah penting agar segala elemen-elemen ini diperbaiki, ditingkatkan dan dipermodenkan termasuklah kemudahan perubatan itu sendiri di dalam usaha ke arah mencapai Joint Commission International (JCI) dan pensijilan halal bagi hospital-hospital. 

Sudah tentunya seiring dengan perubahan trend  rawatan pada masa kini, jaringan usahasama dengan syarikat-syarikat insurans juga perlu diperkemaskan. Penulis ingin simpulkan di sini bahawa, Halal Medical Tourism mempunyai jumlah pasaran yang agak besar dan mampu berkembang pesat serta menyumbang kepada ekonomi negara.

Penghargaan:
Alhamdulillah, penulis memanjatkan syukur ke hadrat Allah s.w.t. dengan izin dan limpah kurniaNya berjaya juga penulis berkongsi pengalaman semasa menyertai Penang International Halal Conference pada 18 Januari 2013 baru-baru ini.
Ucapan terima kasih kepada ahli keluarga penulis juga rakan-rakan yang banyak membantu dalam penghasilan artikel monograf ini.  Kamal bin Ali, Izatul Syazreen binti Ismail, Norlida Osman, Wartawan Bernama Tuan Ali Imran, Penulis Best Seller – Tuan Zamri bin Mohamad, Mohamad Shukri, Amir Hamzah.
Tidak lupa juga kepada Ketua Jabatan, Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau, En. Khaairuddin bin Khalil dan Ketua Program Pengurusan Pelancongan, En. Mohd Zaidi bin Sarip.
Keynotes: Standard JCI merupakan matriks standard yang digunakan bagi memperbaiki kualiti dan tahap keselamatan di bahagian klinikal dan pengurusan di hospital. Ianya juga berfungsi dalam memastikan penambahbaikan prestasi di hospital. 

No comments:

Post a Comment