Pengalaman Sebagai
Sukarelawan di Raptor Watch 2013, Tanjung Tuan
Mazura binti
Stapah@Salleh
Jabatan
Pelancongan dan Hospitaliti,
Politeknik
Merlimau, Melaka
 |
Raptor dilihat terbang di Tanjung Tuan. Foto oleh: MNS |
Tanjung Tuan sungguh istimewa, selain dikenali dengan rumah api tertua di Malaysia peninggalan penjajah portugis serta terdapat tapak kaki Hang Tuah, kawasan ini juga popular sebagai salah satu Important Birdest Area (I.B.A) di Malaysia.
Tidak disangka-sangka bersempena ulang tahun
pertama penulis sebagai ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga dikenali
sebagai Malaysian Nature Society (MNS), penulis berkesempatan turut serta sebagai
salah seorang sukarelawan menjayakan acara pemerhatian burung di Tanjung Tuan.
Raptor Watch 2013 diadakan setiap tahun iaitu
pada bulan Mac dan April di Hutan Simpan Tanjung Tuan, Port Dickson. Pada tahun ini majlis sambutan dan pelancaran
diadakan pada 9 dan 10hb Mac dengan
kerjasama MNS serta Kerajaan Negeri
Melaka dan Negeri Sembilan.
Lokasi acara ini agak unik kerana ia
melibatkan dua buah kerajaan negeri, PNB Ilham Resort yang bertindak sebagai
lokasi perasmian terletak di dalam Negeri Sembilan, manakala Hutan Simpan
Tanjung Tuan yang berada betul-betul bersebelahan dengan resort ini pula berada
dalam Negeri Melaka.
Justeru, acara ini secara rasminya melibatkan
usahasama kedua-dua kerajaan negeri dan hos utama acara adalah Badan Bukan
Kerajaan (NGO) yang sentiasa memperjuangkan dan melakukan aktiviti pemuliharaan
alam semulajadi iaitu MNS.
 |
White-bellied Sea Eagle. Foto oleh MNS |
Apa itu
Raptor Watch?
Raptor merujuk kepada istilah yang digunakan
kepada burung pemangsa. Acara ini dinamakan sempena jenis burung migrasi yang
singgah di Tanjung Tuan.
Burung yang berasal dari keturunan
dinasours iaitu Velociraptors ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan
keturunan asalnya iaitu mempunyai paruh yang besar, runcing dan tajam untuk
mengoyakkan badan mangsanya. Burung ini juga mempunyai kaki yang kuat dan berkuku
tajam untuk memegang mangsa yang terdiri daripada mamalia dan burung-burung
kecil.
Kepak burung-burung pemangsa ini boleh
mencecah sehingga 1 meter lebar ketika dikuak untuk terbang. Kepak ini
membekalkan kekuatan tambahan bagi burung pemangsa untuk mengangkat mangsanya
yang agak berat
Hutan Hujan Tropika yang terletak di
pesisiran pantai ini, merupakan sebilangan kecil hutan pesisiran pantai yang
masih wujud di Semenanjung Malaysia. Selain dari bertindak sebagai agen
penampan dari ombak dan angin, hutan ini juga sangat istimewa kerana menjadi
tempat persinggahan burung-burung pemangsa yang dipanggil Raptor yang singgah
dalam perjalanan pulang ke negara asalnya di Siberia, Jepun, Korea dan Rusia
yang mengalami musim sejuk pada bulan Oktober setiap tahun.
 |
Cape Richardo Tanjung Tuan |
Kepentingan
Hutan Simpan Tanjung Tuan kepada spesies Raptor
Hutan Simpan Tanjung Tuan yang
terletak di Port Dickson ini berada di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan
Negeri Melaka. Hutan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah
kategori Hutan Perlindungan dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perhutanan
Negara 1984.
Berdasarkan perundangan yang
termaktub di bawah akta ini, tiada sebarang aktiviti penebangan hutan,
pengambilan hasil-hasil hutan, pembakaran hutan, menangkap, mencederakan atau
membawa keluar hidupan liar yang terdapat di sini.
Pembangunan di kawasan ini adalah
pembangunan secara minima, bagi mengelakkan berlaku kerosakan kepada alam
semulajadi yang terdapat di kawasan hutan ini.
Seperti kita sedia maklum, kawasan
hutan ini menjadi kawasan persinggahan burung-burung pemangsa ini sebelum
meneruskan perjalanan pulang ke negara masing-masing. Kebiasaannya,
burung-burung ini boleh diperhatikan singgah di Hutan Simpan Tanjung Tuan pada
setiap awal Mac sehingga bulan April.
Kawasan hutan yang merupakan kawasan
daratan paling hampir dengan Pulau Rupat, Kepulauan Sumatera ini membekalkan thermal
column iaitu ruang-ruang panas kepada burung-burung ini,sekaligus
mengurangkan penggunaan tenaga oleh burung-burung untuk terbang. Burung-burung
ini akan terbang dari satu ruang panas ke ruang panas yang lain.
Justeru, cuaca yang panas merupakan
waktu yang sesuai bagi raptors ini untuk terbang. Kebiasaannya, burung-burung
pemangsa ini boleh didapati terbang sekitar jam 11 pagi hingga jam 3 petang di
kawasan sekitar Tanjung Tuan. Walaubagaimanapun, tidak kesemua burung ini
berjaya terbang pulang ke negara asal mereka. Berdasarkan pemerhatian pihak
MNS, terdapat juga burung pemangsa ini yang gagal terbang dan mati terjatuh ke
dalam laut Selat Melaka sebelum sempat sampai ke Tanjung Tuan.
Dengan adanya thermal column
yang dibekalkan oleh kawasan hutan simpan ini, burung-burung pemangsa ini hanya
perlu menguak (glide) kepak masing-masing iaitu hanya
meluncur terbang di awan sebelum sampai ke kawasan daratan. Sebaik sahaja tiba
di hutan simpan pesisiran pantai ini, burung-burung ini boleh mencari mangsa
yang terdiri daripada haiwan dan burung-burung kecil untuk dimakan, sebelum
meneruskan semula perjalanan pulang.
Pada tahun lepas sahaja, MNS
melaporkan lebih dari 40,000 raptors direkodkan terbang melintasi Hutan Simpan
Tanjung Tuan, Port Dickson. Burung-burung yang biasa ditemui adalah dari jenis
burung helang seperti Crested Honey Buzzard (Pernis
ptilorhynchus) juga dikenali sebagai Helang Lebah, Chineese Goshawk (Accipiter soloensis) iaitu nama
tempatannya Helang Sewah Cina, Black Baza (Aviceda
leuphotes) iaitu Helang Baza, Japanese Sparrowhawk (Accipiter gularis) iaitu Helang Sewah Jepun dan Grey Faced
Buzzard (Butastur indicus) iaitu
Helang Kepala Kelabu.
Burung-burung pemangsa ini sangat penting
menyumbang kepada keseimbangan ekosistem di sesuatu kawasan hutan, sesuai
dengan kedudukannya antara yang paling tinggi dalam rantaian makanan.
Sukarelawan Raptor Watch 2013
Alhamdulillah, permohonan penulis
untuk turut serta menjayakan Raptor Watch pada tahun ini mendapat maklumbalas
yang menggembirakan daripada pihak MNS. Seminggu sebelum acara tahunan ini
berlangsung, penulis dan rakan-rakan sukarelawan yang lain telah dipanggil
untuk menjalani sesi latihan dan taklimat awal perlaksanaan nature walk di Hutan Simpan Tanjung
Tuan, Port Dickson.
Sesi latihan pada hujung minggu itu
mengambil masa kira-kira 5 jam, bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 2
petang. Taklimat awal diberikan oleh ketua jurulatih iaitu Puan Pasu daripada
MNS dan dibantu oleh Encik Ilyas Sapian.
Taklimat awal dilakukan di menara
pemerhati yang terdapat di PNB Ilham Resort, Port Dickson. Selesai sesi perkenalan semua sukarelawan,
kami diberi penerangan mengenai burung-burung Raptors yang biasa ditemui di Tanjung
Tuan.
Sesi latihan kemudiannya diteruskan
di mana para sukarelawan seramai kira-kira 23 orang dibahagikan kepada dua
kumpulan masing-masing dibawah seliaan Puan Pasu dan Encik Ilyas. Sesi nature walk dimulai di permulaan stesen
iaitu tidak jauh dari pintu masuk ke Hutan Simpan Tanjung Tuan.
Di stesen pertama ini, setiap
sukarelawan perlu memperkenalkan diri masing-masing serta memastikan para
peserta mengenakan pakaian yang bersesuaian bagi aktiviti jungle trekking. Kami juga perlu mengingatkan agar para peserta
yang mempunyai tahap kesihatan yang baik serta tidak mengandung sahaja yang
boleh meneruskan aktiviti ini. Para peserta juga digalakkan untuk membawa sedikit makanan ringan berkhasiat dan
air yang mencukupi.
Para peserta diberitahu mengenai
kepentingan kawasan hutan ini sebagai salah satu Important Birdest Area (I.B.A) di Malaysia iaitu kawasan tumpuan
persinggahan burung-burung. Trek laluan bagi sesi nature walk ini adalah kira-kira 2km dan memakan masa kira-kira 1
jam setengah perjalanan berjalan kaki.
Di antara
ekosistem hutan yang terdapat di sepanjang laluan ini adalah spesies pokok
hutan iaitu Meranti Seraya (Shorea
curtisii), Penarahan Arang, Simpoh Jangkang (Dillenia reticulate), Pokok Ara (Ficus sp.), Tongkat Ali (Eurycoma
longifolia), Terentang (Campnosperma
auriculata), Kembang Semangkuk (Scarpium
sp.), Keruing Belimbing (Dipterocarpus
sp.) . Terdapat juga busut anai-anai, liana, pokok rotan, cendawan dan
mengkuang gergasi di sepanjang laluan hutan ini.
Berdasarkan pandangan
peribadi penulis, acara tahunan ini berjalan dengan lancar, meriah dan mendapat
sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai pihak. Tahniah dan
sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak berikut iaitu Persatuan
Pencinta Alam Malaysia (MNS) sendiri, Kerajaan Negeri Melaka dan Negeri
Sembilan, PNB Ilham Resort kerana penajaan lokasi acara, Penaja-penaja utama
IJM, Air France, HSBC, warga UTEM, agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga
Penggalak Pelancongan N.Sembilan, Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka,
delegasi-delegasi dari luar negara yang turut serta, Jabatan Perhutanan Negeri
Melaka, MINOX, NIKON dan banyak lagi pihak yang tidak mampu disebutkan satu
persatu.
Kedatangan orang awam ke acara tahunan
ini juga sesungguhnya amat bermakna sebagai tanda sokongan masyarakat khususnya
orang awam terhadap kesedaran di kalangan mereka akan peri pentingnya
memelihara alam semulajadi khusus bagi kepentingan sejagat.
Penulis juga berharap lebih ramai lagi di
kalangan anda yang akan mendaftar menjadi sebahagian ahli keluarga Malaysia
Nature Society (MNS), lebih ramai yang menyatakan sokongan padu mereka terhadap
kepentingan pemuliharaan alam semulajadi, insyallah alam semulajadi akan lebih
terpelihara.
Bagi penulis, tidak kira siapa pun yang bakal
menguruskan kawasan hutan simpan ini pada masa hadapan, seharusnya pengurusan
hutan secara berkekalan dipraktikkan.
Diantara yang perlu diberi perhatian adalah pembangunan minima di
kawasan ini tanpa melakukan sebarang kerosakan kepada sumber alam semulajadi
yang ada. Pandangan peribadi penulis, cukuplah sekadar kemudahan tandas yang
sedia ada di pintu masuk ke kawasan hutan simpan ini dan beberapa wakaf yang
sedia ada.
Selain dari itu, pihak berkaitan perlu
menghadkan kemasukan pelawat pada sesuatu masa iaitu berdasarkan konsep daya
tampung iaitu carrying capacity bagi
kawasan ini bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sumber semulajadi yang ada.
Penulis juga sangat bersetuju bahawa kesemua
pelawat perlu berjalan kaki di sepanjang laluan yang ada. Bagi tujuan
keselamatan, tidak sesuai rasanya dibenarkan kenderaan bermotor mahupun basikal
menggunakan laluan di dalam kawasan ini. Keadaan jalan yang curam, mendedahkan
para pengunjung dengan risiko kemalangan.
Hutan Simpan Tanjung Tuan, merupakan
sebilangan kecil hutan dara pesisiran pantai yang tinggal di negara kita.
Justeru, diharapkan agar kesemua pihak khususnya pihak yang bertanggungjawab
memainkan peranan dalam memastikan khazanah hutan yang sangat tidak ternilai
ini terpelihara untuk dinikmati oleh generasi ke generasi akan datang.