Tuesday 26 March 2013

Sukarelawan Raptor Watch 2013


Pengalaman Sebagai Sukarelawan di Raptor Watch 2013, Tanjung Tuan


Mazura binti Stapah@Salleh
Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti,
Politeknik Merlimau, Melaka

Raptor dilihat terbang di Tanjung Tuan. Foto oleh: MNS
Tanjung Tuan sungguh istimewa, selain dikenali dengan rumah api tertua di Malaysia peninggalan penjajah portugis serta terdapat tapak kaki Hang Tuah, kawasan ini juga popular sebagai salah satu Important Birdest Area (I.B.A) di Malaysia.
 

Tidak disangka-sangka bersempena ulang tahun pertama penulis sebagai ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga dikenali sebagai Malaysian Nature Society (MNS), penulis berkesempatan turut serta sebagai salah seorang sukarelawan menjayakan acara pemerhatian burung di Tanjung Tuan.

Raptor Watch 2013 diadakan setiap tahun iaitu pada bulan Mac dan April di Hutan Simpan Tanjung Tuan, Port Dickson.  Pada tahun ini majlis sambutan dan pelancaran diadakan pada 9 dan 10hb Mac dengan kerjasama MNS serta  Kerajaan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Lokasi acara ini agak unik kerana ia melibatkan dua buah kerajaan negeri, PNB Ilham Resort yang bertindak sebagai lokasi perasmian terletak di dalam Negeri Sembilan, manakala Hutan Simpan Tanjung Tuan yang berada betul-betul bersebelahan dengan resort ini pula berada dalam Negeri Melaka.

Justeru, acara ini secara rasminya melibatkan usahasama kedua-dua kerajaan negeri dan hos utama acara adalah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa memperjuangkan dan melakukan aktiviti pemuliharaan alam semulajadi iaitu MNS.

White-bellied Sea Eagle. Foto oleh MNS

 

Apa itu Raptor Watch?


Raptor merujuk kepada istilah yang digunakan kepada burung pemangsa. Acara ini dinamakan sempena jenis burung migrasi yang singgah di Tanjung Tuan.



Burung yang berasal dari keturunan dinasours iaitu Velociraptors ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan keturunan asalnya iaitu mempunyai paruh yang besar, runcing dan tajam untuk mengoyakkan badan mangsanya. Burung ini juga mempunyai kaki yang kuat dan berkuku tajam untuk memegang mangsa yang terdiri daripada mamalia dan burung-burung kecil.



Kepak burung-burung pemangsa ini boleh mencecah sehingga 1 meter lebar ketika dikuak untuk terbang. Kepak ini membekalkan kekuatan tambahan bagi burung pemangsa untuk mengangkat mangsanya yang agak berat



Hutan Hujan Tropika yang terletak di pesisiran pantai ini, merupakan sebilangan kecil hutan pesisiran pantai yang masih wujud di Semenanjung Malaysia. Selain dari bertindak sebagai agen penampan dari ombak dan angin, hutan ini juga sangat istimewa kerana menjadi tempat persinggahan burung-burung pemangsa yang dipanggil Raptor yang singgah dalam perjalanan pulang ke negara asalnya di Siberia, Jepun, Korea dan Rusia yang mengalami musim sejuk pada bulan Oktober setiap tahun.
 
Cape Richardo Tanjung Tuan

Kepentingan Hutan Simpan Tanjung Tuan kepada spesies Raptor


Hutan Simpan Tanjung Tuan yang terletak di Port Dickson ini berada di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka. Hutan ini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal di bawah kategori Hutan Perlindungan dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Berdasarkan perundangan yang termaktub di bawah akta ini, tiada sebarang aktiviti penebangan hutan, pengambilan hasil-hasil hutan, pembakaran hutan, menangkap, mencederakan atau membawa keluar hidupan liar yang terdapat di sini.

Pembangunan di kawasan ini adalah pembangunan secara minima, bagi mengelakkan berlaku kerosakan kepada alam semulajadi yang terdapat di kawasan hutan ini.

Seperti kita sedia maklum, kawasan hutan ini menjadi kawasan persinggahan burung-burung pemangsa ini sebelum meneruskan perjalanan pulang ke negara masing-masing. Kebiasaannya, burung-burung ini boleh diperhatikan singgah di Hutan Simpan Tanjung Tuan pada setiap awal Mac sehingga bulan April.

Kawasan hutan yang merupakan kawasan daratan paling hampir dengan Pulau Rupat, Kepulauan Sumatera ini membekalkan thermal column  iaitu ruang-ruang panas kepada burung-burung ini,sekaligus mengurangkan penggunaan tenaga oleh burung-burung untuk terbang. Burung-burung ini akan terbang dari satu ruang panas ke ruang panas yang lain.

Justeru, cuaca yang panas merupakan waktu yang sesuai bagi raptors ini untuk terbang. Kebiasaannya, burung-burung pemangsa ini boleh didapati terbang sekitar jam 11 pagi hingga jam 3 petang di kawasan sekitar Tanjung Tuan. Walaubagaimanapun, tidak kesemua burung ini berjaya terbang pulang ke negara asal mereka. Berdasarkan pemerhatian pihak MNS, terdapat juga burung pemangsa ini yang gagal terbang dan mati terjatuh ke dalam laut Selat Melaka sebelum sempat sampai ke Tanjung Tuan.

Dengan adanya thermal column yang dibekalkan oleh kawasan hutan simpan ini, burung-burung pemangsa ini hanya perlu menguak (glide) kepak masing-masing iaitu hanya meluncur terbang di awan sebelum sampai ke kawasan daratan. Sebaik sahaja tiba di hutan simpan pesisiran pantai ini, burung-burung ini boleh mencari mangsa yang terdiri daripada haiwan dan burung-burung kecil untuk dimakan, sebelum meneruskan semula perjalanan pulang.

Pada tahun lepas sahaja, MNS melaporkan lebih dari 40,000 raptors direkodkan terbang melintasi Hutan Simpan Tanjung Tuan, Port Dickson. Burung-burung yang biasa ditemui adalah dari jenis burung helang seperti Crested Honey Buzzard (Pernis ptilorhynchus) juga dikenali sebagai Helang Lebah, Chineese Goshawk (Accipiter soloensis) iaitu nama tempatannya Helang Sewah Cina, Black Baza (Aviceda leuphotes) iaitu Helang Baza, Japanese Sparrowhawk (Accipiter gularis) iaitu Helang Sewah Jepun dan Grey Faced Buzzard (Butastur indicus) iaitu Helang Kepala Kelabu.

Burung-burung pemangsa ini sangat penting menyumbang kepada keseimbangan ekosistem di sesuatu kawasan hutan, sesuai dengan kedudukannya antara yang paling tinggi dalam rantaian makanan.

Sukarelawan Raptor Watch 2013


Alhamdulillah, permohonan penulis untuk turut serta menjayakan Raptor Watch pada tahun ini mendapat maklumbalas yang menggembirakan daripada pihak MNS. Seminggu sebelum acara tahunan ini berlangsung, penulis dan rakan-rakan sukarelawan yang lain telah dipanggil untuk menjalani sesi latihan dan taklimat awal perlaksanaan nature walk di Hutan Simpan Tanjung Tuan, Port Dickson.

Sesi latihan pada hujung minggu itu mengambil masa kira-kira 5 jam, bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang. Taklimat awal diberikan oleh ketua jurulatih iaitu Puan Pasu daripada MNS dan dibantu oleh Encik Ilyas Sapian.

Taklimat awal dilakukan di menara pemerhati yang terdapat di PNB Ilham Resort, Port Dickson.  Selesai sesi perkenalan semua sukarelawan, kami diberi penerangan mengenai burung-burung Raptors yang biasa ditemui di Tanjung Tuan.

Sesi latihan kemudiannya diteruskan di mana para sukarelawan seramai kira-kira 23 orang dibahagikan kepada dua kumpulan masing-masing dibawah seliaan Puan Pasu dan Encik Ilyas. Sesi nature walk dimulai di permulaan stesen iaitu tidak jauh dari pintu masuk ke Hutan Simpan Tanjung Tuan.

Di stesen pertama ini, setiap sukarelawan perlu memperkenalkan diri masing-masing serta memastikan para peserta mengenakan pakaian yang bersesuaian bagi aktiviti jungle trekking. Kami juga perlu mengingatkan agar para peserta yang mempunyai tahap kesihatan yang baik serta tidak mengandung sahaja yang boleh meneruskan aktiviti ini. Para peserta juga digalakkan untuk  membawa sedikit makanan ringan berkhasiat dan air yang mencukupi.

Para peserta diberitahu mengenai kepentingan kawasan hutan ini sebagai salah satu Important Birdest Area (I.B.A) di Malaysia iaitu kawasan tumpuan persinggahan burung-burung. Trek laluan bagi sesi nature walk ini adalah kira-kira 2km dan memakan masa kira-kira 1 jam setengah perjalanan berjalan kaki.

Di antara ekosistem hutan yang terdapat di sepanjang laluan ini adalah spesies pokok hutan iaitu Meranti Seraya (Shorea curtisii), Penarahan Arang, Simpoh Jangkang (Dillenia reticulate), Pokok Ara (Ficus sp.), Tongkat Ali (Eurycoma longifolia), Terentang (Campnosperma auriculata), Kembang Semangkuk (Scarpium sp.), Keruing Belimbing (Dipterocarpus sp.) . Terdapat juga busut anai-anai, liana, pokok rotan, cendawan dan mengkuang gergasi di sepanjang laluan hutan ini.


Berdasarkan pandangan peribadi penulis, acara tahunan ini berjalan dengan lancar, meriah dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai pihak. Tahniah dan sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak berikut iaitu Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sendiri, Kerajaan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, PNB Ilham Resort kerana penajaan lokasi acara, Penaja-penaja utama IJM, Air France, HSBC, warga UTEM, agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Penggalak Pelancongan N.Sembilan, Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, delegasi-delegasi dari luar negara yang turut serta, Jabatan Perhutanan Negeri Melaka, MINOX, NIKON dan banyak lagi pihak yang tidak mampu disebutkan satu persatu.

Kedatangan orang awam ke acara tahunan ini juga sesungguhnya amat bermakna sebagai tanda sokongan masyarakat khususnya orang awam terhadap kesedaran di kalangan mereka akan peri pentingnya memelihara alam semulajadi khusus bagi kepentingan sejagat.



Penulis juga berharap lebih ramai lagi di kalangan anda yang akan mendaftar menjadi sebahagian ahli keluarga Malaysia Nature Society (MNS), lebih ramai yang menyatakan sokongan padu mereka terhadap kepentingan pemuliharaan alam semulajadi, insyallah alam semulajadi akan lebih terpelihara.



Bagi penulis, tidak kira siapa pun yang bakal menguruskan kawasan hutan simpan ini pada masa hadapan, seharusnya pengurusan hutan secara berkekalan dipraktikkan.  Diantara yang perlu diberi perhatian adalah pembangunan minima di kawasan ini tanpa melakukan sebarang kerosakan kepada sumber alam semulajadi yang ada. Pandangan peribadi penulis, cukuplah sekadar kemudahan tandas yang sedia ada di pintu masuk ke kawasan hutan simpan ini dan beberapa wakaf yang sedia ada.



Selain dari itu, pihak berkaitan perlu menghadkan kemasukan pelawat pada sesuatu masa iaitu berdasarkan konsep daya tampung iaitu carrying capacity bagi kawasan ini bagi mengelakkan kesan negatif terhadap sumber semulajadi yang ada.



Penulis juga sangat bersetuju bahawa kesemua pelawat perlu berjalan kaki di sepanjang laluan yang ada. Bagi tujuan keselamatan, tidak sesuai rasanya dibenarkan kenderaan bermotor mahupun basikal menggunakan laluan di dalam kawasan ini. Keadaan jalan yang curam, mendedahkan para pengunjung dengan risiko kemalangan.



Hutan Simpan Tanjung Tuan, merupakan sebilangan kecil hutan dara pesisiran pantai yang tinggal di negara kita. Justeru, diharapkan agar kesemua pihak khususnya pihak yang bertanggungjawab memainkan peranan dalam memastikan khazanah hutan yang sangat tidak ternilai ini terpelihara untuk dinikmati oleh generasi ke generasi akan datang.


No comments:

Post a Comment